Memaparkan catatan dengan label Muka Depan Akhbar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muka Depan Akhbar. Papar semua catatan

Selasa, 9 Jun 2009

3 Tahun Dalam Neraka - Harian Metro

macam-macam perangai orang zaman sekarang. Taulah orang tu cuma pembantu rumah tapi takkan la boleh dera sampai camtu, majikan ni memang tak da ahti perut dah la tak kasi orang tu gaji, sebab dia orang indonesia ke sampai boleh buat cam tu kat dia. Jahat betul majikan dia ni, patutnya kasi je dia rasa kena simbah air panas cam ne, dia ingat best agaknya...


KUALA LUMPUR: Amah wanita itu diperlakukan bagai hamba abdi sejak hampir tiga tahun apabila didera hampir setiap hari, sebelum dia nekad melarikan diri dari rumah majikannya di sebuah kondominium di Mount Kiara di sini, awal pagi semalam.

Malah, majikan terbabit didakwa tidak pernah membayar gaji walau satu sen pun sejak wanita warga Indonesia itu diambil bekerja di rumahnya, selain hanya diberikan nasi kosong tanpa lauk sebagai makanan harian.

Lebih memualkan, jika mangsa teringin sangat menjamah lauk, dia hanya dibenarkan mengambil daging babi oleh majikan tidak berhati perut itu, walaupun mengetahui pembantu rumah berkenaan beragama Islam.

Itulah antara penderitaan terpaksa ditanggung Siti Hajar, 33, yang cedera teruk hampir di seluruh anggota badan akibat disimbah air panas sebelum wanita berkenaan meloloskan diri.

Difahamkan, wanita malang terbabit yang tidak dapat menanggung azab melarikan diri dari rumah majikannya kira-kira jam 1 pagi dan bersembunyi di tepi jalan sebelum menahan sebuah teksi untuk ke Kedutaan Indonesia, di sini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da’i Bachtiar, berkata wanita malang terbabit tiba di perkarangan Kedutaan Indonesia kira-kira jam 8.30 pagi dan menceritakan segala penderitaan yang ditanggungnya selama ini.

Sejurus melihat keadaan mangsa yang cedera teruk itu, pihak kedutaan kemudian membawanya ke hospital sebelum membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di pejabatnya, petang semalam.

Menurutnya, pembantu rumah berkenaan yang berasal daripada Jawa Barat, tiba di negara ini pada 2006 dan dihantar bekerja di rumah dua majikan berlainan.“Wanita terbabit bekerja dengan majikannya yang pertama pada 2 Julai 2006 selama empat hari dan kemudian diambil bekerja sebagai pembantu di rumah majikannya sekarang,” katanya.

Menurutnya, sejak hari itu bermulalah penderitaan yang terpaksa ditanggung wanita malang terbabit apabila dia kerap dimarahi dan dipukul hanya kerana melakukan kesalahan kecil. “Mangsa langsung tidak dibayar gaji sejak 34 bulan lalu dan dia turut dipukul dengan objek keras jika membuat kesalahan.“Dia yang tidak tahan lagi menanggung penderitaan akibat didera hampir setiap hari itu nekad melarikan diri semalam (kelmarin) selepas disimbah air panas oleh majikannya,” katanya.

Da’i berkata, pihak kedutaan memanggil wanita yang menjadi majikan itu untuk mengadakan perbincangan bagi menuntut tunggakan gaji pembantu rumah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM17,000.“Majikan itu datang ke kedutaan kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam) dan hasil perbincangan dia mengakui mendera mangsa dan meminta maaf.“Hampir lapan jam perbincangan dilakukan dan wanita itu kemudian ditahan polis sejurus dia keluar dari pejabat kedutaan,” katanya.

Selasa, 26 Mei 2009

Sampai Bila - Utusan Malaysia

huh aku memang suka nak menjadi pengulas pasal berita kat muka depan utusan Malaysia hari ni. Masalah kesesakan penumpang yang menaiki kenderaan awam. sangat sesak dan menyusahkan, kenapa benda ni jadi eh, sebab kekurangan pengangkutan awam atau semakin ramai pengguna pengangkutan awam (ditambah lagi dengan kehadiran warga-warga selain warga Malaysia), dan yang paling merimaskan bila tahap berhimpit² di dalam kenderaan awam berada pada posisi seperti sardin yang nak gerak sikit pon payah. Pastu mulalah ada yang amik kesempatan menyeluk saku, meraba dan menyebarkan haruman terbaru (termasuk kategori amik kesempatan ke ni) aduh.. macam mana nak atasi perkara ni, nak naik pengangkutan awan berdepan dengan kesesakan manusia, naik kenderaan sendiri berdepan ngan kesesakan lalulintas pulak, banyak masa habis kat jalan je..



GAMBAR menunjukkan orang ramai membahayakan diri berhimpit-himpit dan berpaut pada pintu komuter di stesen Segambut. Gambar kanan pula memperlihatkan warga kota beratur panjang untuk menaiki bas selepas menggunakan perkhidmatan LRT di Perhentian Bas Stesen LRT, Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.


SAMPAI BILA?

SISTEM pengangkutan awam di Lembah Klang terus meresahkan rakyat, sama ada bas, komuter atau Transit Aliran Ringan (LRT), perkhidmatan tidak banyak berubah. Jumlah pengguna yang bertambah telah memburukkan keadaan sehingga kemudahan komuter dan bas awam sedia ada sukar lagi menampung penumpang.

Tinjauan mendapati walaupun bukan pada waktu puncak, orang ramai termasuk warga emas dan kanak-kanak terpaksa berasak-asak dan berhimpit dalam komuter. Sampai bilakah ia harus dibiarkan berterusan?

Tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasi kesusahan yang dihadapi rakyat.

Khamis, 21 Mei 2009

Jeritan Maut - Harian Metro


IPOH: “Mana bini aku, mana bini aku...,” jerit Jafri Tajul Aripin, 47, kepada seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan bunuh dua beranak dan seorang pembantu rumah di Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Jafri yang menangkap lelaki terbabit dengan bantuan seorang rakan berkata, dia mulanya bergegas pulang ke rumah apabila mendengar jeritan isterinya, Wah Yah Mat Zi, 42, ketika berbual menggunakan telefon bimbit sebelum talian itu terputus.Bimbang kejadian buruk menimpa keluarganya, Jafri segera memasuki rumahnya lalu mendapati mayat Wah Yah dan pembantu rumah terbujur di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.Dalam keadaan terkejut itu, dia terus mencari anak bongsunya, Ermin Denish, 5, sebelum mayatnya ditemui di dalam bilik air. Dia kemudian terserempak seorang lelaki dipercayai suspek yang terburu-buru cuba melarikan diri dari rumahnya dengan melompat pagar sambil membawa sebuah beg menuju ke sebuah motosikal.

Berang dengan kejadian kejam itu, kata Jafri, dia mencapai sebilah parang dalam keretanya sebelum mengejar suspek di hadapan rumah.Dengan bantuan rakan, Ahmad Hanafiah, 38, yang kebetulan ternampak lelaki terbabit dikejar Jafri, mereka berjaya menghalang suspek daripada melarikan diri dengan menggunakan kereta.“Lelaki terbabit terjatuh sebelum saya menangkapnya dengan dibantu rakan yang kebetulan berada di kawasan rumah.“Kami mengikatnya dengan hos getah sementara menunggu ketibaan polis,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Wah Yah yang juga pemilik salun, Ermin serta pembantu rumah mereka dikenali sebagai Dani, 18, ditemui mati dibunuh dengan kesan tikaman dan kelar di beberapa bahagian badan dalam kejadian samun bersenjata.Harian Metro difahamkan, Wah Yah baru saja mengeluarkan wang RM4,000 dari bank berdekatan sebelum dia dipercayai diekori penjenayah terbabit sehingga ke rumah. Saksi kejadian yang juga kenalan Jafri, Ahmad Hanafiah, 38, berkata dia hairan apabila melihat rakannya berlari masuk ke rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa.“Saya cemas sebelum berpatah balik untuk melihat apa yang berlaku. Apabila tiba di tempat kejadian, saya melihat seorang lelaki melompat keluar dari pagar rumah mangsa dengan membawa sebuah beg dan bergegas menaiki motosikalnya. “Saya dan Jafri menghalang suspek dengan menggunakan kereta dan terus keluar menangkap lelaki terbabit yang terjatuh sebelum sempat dia melarikan diri,” katanya. Ahmad berkata, ketika kejadian, dia baru saja mengeluarkan wang di sebuah bank berhampiran rumah mangsa sebelum ternampak rakannya itu kelihatan cemas.

“Sebelum itu, saya baru saja selesai melakukan kerja mengecat pagar di Jabatan Penerbangan Awam dan kebetulan melalui kawasan kediaman mangsa,” katanya. Sementara itu, Jafri terpaksa ditenangkan saudaranya dan lebih menyayat hati apabila anak perempuan mangsa berusia 10 tahun berlari sambil meraung “Mami, Mami” sebelum mendapatkan ayahnya selepas mengetahui kejadian menimpa ibu. Keadaan di sekitar rumah mangsa juga sesak dengan kehadiran 300 orang menyebabkan polis mengeluarkan arahan supaya orang ramai beredar. Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa keluar dari rumah berkenaan jam 6.10 petang sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Rabu, 20 Mei 2009

2 maut, 7 parah bas ekspres bertembung treler - Utusan Malaysia


KUANTAN 19 Mei – Dua maut manakala tujuh lagi parah apabila sebuah bas ekspres bertembung dengan sebuah treler yang sarat membawa muatan baja di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Maran, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian pukul 8.15 malam itu ialah pemandu lori berkenaan, Khairul Nizam Mohammed, 31, dari Kampung Padang Maidin, Kuala Terengganu dan seorang penumpang bas ekspres, Sabariah Arif, 32, dari Felda Purun Teriang, Bera.

Tujuh yang parah ialah pemandu bas, Mohammed Saladi Ripin, 42; kelindan lori, Yusoff Hassan, 42, dan lima penumpang bas berkenaan iaitu Tuan Suziyzty Tun Noor, 24; Aulia Hasan Basri, 30; Mohd. Johar Yadin, 56; Abdul Rahman Abdullah, 19, dan Raja Ahmad Suari Raja Abu Bakar, 40.

Pegawai Penguat Kuasa/Tadbir Trafik Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, kemalangan berlaku ketika bas ekspres Transnasional berkenaan yang membawa 21 penumpang dalam perjalanan dari Kuantan ke Temerloh manakala treler milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu pula dari arah bertentangan.

Beliau berkata, setibanya di sebuah jambatan sempit, bas ekspres berkenaan dipercayai memasuki laluan lori berkenaan sehingga menyebabkan berlaku pertembungan.
“Akibat pertembungan itu, bahagian hadapan treler berkenaan remuk, manakala bas ekspres berkenaan pula terkopak daripada bahagian hadapan hingga ke tengah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zainalabidin, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan parah diberikan rawatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Katanya, polis yang menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, akan menahan pemandu bas ekspres berkenaan sejurus dia mendapatkan rawatan bagi membantu siasatan.